Dari Dapur Cikgu Zue

Wednesday, July 10, 2013

Bubur Lambuk (versi Penang)

Bahan- Bahan :

Udang (kupas kulit dan isinya dipotong dadu)

Isi ayam (dipotong dadu)
Udang kering (dikisar halus)
2 tin cendawan butang (dipotong dadu)
6 batang serai 
2 labu bawang besar /  10 ulas bawang merah
1 labu bawang putih
2 inci halia
1 kotak kecil santan kara
Daun kesom / daun limau purut
Garam secukup rasa
Dua sudu besar lada hitam (ditumbuk lumat)

Cara Penyediaan :


1.  Cuci udang dan ayam kemudian toskan.
2.  Kisar bawang besar, bawang putih, halia dan serai.       
     Toskan airnya. 
3.  Tumis bahan kisar  dan udang  kering di dalam periuk 
     hingga garing dan naik bau.
4.  Masukkan isi ayam.  Goreng isi ayam hingga masak.
     Setelah itu ketepikan bahan tumis.
5.  Masak nasi di dalam periuk lain.  Lebihkan sukatan
     air untuk mendapatkan nasi lembik. Masukkan juga air  
     daripada bahan yang telah dikisar.
6.  Apabila nasi mula mendidih, kacau nasi berterusan agar
     nasi hancur.  Jika nasi pekat, tambah air.
7.  Setelah nasi betul-betul sudah hancur, masukkan bahan 
     tumisan ke dalam periuk diikuti isi udang dan cendawan 
     butang. Kacau hingga sebati.
8. Kemudian masukkan garam, lada hitam, serbuk perasa 
   (maggi secukup rasa), santan dan daun kesom / daun limau 
    purut.  Kacau lagi hingga sebati.
9. Hidangkan di dalam mangkuk.  Tabur ikan bilis goreng dan 
    bawang goreng sebagai hiasan.
10. Siap untuk dimakan...pasti terangkat!!!!    

Alkisahnya :


           Resepi bubur lambuk ini saya belajar daripada seorang rakan guru semasa saya mengajar di STBM dahulu.  Kalau ikut resepinya, beliau juga memasukkan kacang merah ke dalam bubur.  Saya tidak memasukkan kacang merah sebab saya tidak menggemarinya.  Saya juga mengubah suai sedikit resepi yang asal supaya 'kena' dengan selera saya sekeluarga.

               Bubur lambuk ini merupakan hidangan kegemaran anak-anak dan suami saya pada bulan puasa. Kalau anak-anak saya demam dan tiada selera makan, saya juga akan memasakkan bubur lambuk ini untuk mereka. Jika saya  memasak bubur lambuk ini dalam bulan puasa, saya akan memasaknya dalam kuantiti yang banyak untuk diagih-agihkan kepada jiran-jiran terdekat.  Jiran-jiran saya yang terdiri daripada rakan-rakan guru di sekolah saya sangat suka bubur lambuk saya ini terutamanya anak-anak mereka.  Menurut mereka, rasa bubur lambuk saya ini lain daripada yang lain.  Atas permintaan anak-anak mereka, mereka meminta resepi daripada saya untuk memasaknya sendiri di rumah. Bubur lambuk yang saya bagi tak cukup, kata salah seorang rakan saya...hehehhe, mesti sedap sangatlah tu kan....Kalau anda nak tahu sedap atau tidak bubur lambuk saya ni, cubalah resepi saya ini ya... 

No comments:

Post a Comment