Dari Dapur Cikgu Zue
Showing posts with label Lauk-pauk. Show all posts
Showing posts with label Lauk-pauk. Show all posts

Friday, June 14, 2013

Gulai Darat Dengan Umbut Kelapa...


Bahan- Bahan :

2 kilo daging cincang (yang banyak lemak lagi best)
2 biji bawang besar
1 labu bawang putih
2 inci halia
1 ketul lengkuas (diketuk)
6 batang serai (diketuk)
3-4 keping asam keping
1/2 keping nisan (gula Melaka)
5 sudu besar rempah gulai darat ( rempah kerutuk atau rempah kari pun boleh juga)
3 sudu besar cili kering / serbuk cili
3 sudu besar kerisik
Garam 
1/2 kilo santan

Cara Penyediaan :

1.  Cuci daging dan toskan.
2.  Kisar bawang besar, bawang putih dan halia.
3.  Masukkan daging di dalam periuk.
4.  Masukkan bahan kisar, rempah, cili kering, lengkuas, 
     serai, asam keping, nisan, dan garam ke dalam 
     periuk yang berisi daging.  Gaulkan hingga sebati.  
     Biarkan / perap selama lebih kurang sejam hingga keluar
     air daging kemudian masak dengan api kecil  hingga 
     mendidih (untuk mati awas).  Biarkan semalaman (untuk
     mendapatkan rasa yang lebih sedap).
5.  Esoknya, masukkan santan dan umbut kelapa. Masak 
     dengan sempurna kemudian hidangkan...Yummy...macam
     gulai kenduri gitu....
6.  Kalau hendak lagi sedap dan terangkat, masukkan budu 
     ke dalam gulai ini...perghhhh...(orang Kelantan memang
     masukkan budu dalam gulai nih)...


Alkisahnya :


           Cuti sekolah pertengahan tahun baru-baru ini, saya telah pulang ke kampung di Wakaf Che Yeh.  Saya bertolak dari Ampang lebih kurang pukul 10 pagi hari Sabtu dan sampai di WCY pada malamnya kerana kami sekeluarga pulang melalui jalan Kuantan - Terengganu.   Kebetulannya, pada hari Ahad, abah saya mengupah orang dan menyewa jentolak untuk membersihkan kawasan tapak rumah saya (bersebelahan rumah kakak saya).  Di tapak itu, terdapat tujuh batang pokok kelapa yang ditanam oleh Abah saya.  Ketujuh-tujuh pokok kelapa itu mesti ditebang kerana saya berhajat untuk mendirikan rumah di tapak itu (entah bila).  Kami mengambil dua batang umbut kelapa daripada dua   batang pokok kelapa yang ditebang.  Selebihnya kami memberikan kepada kenalan dan orang kampung / jiran.  Sebenarnya, umbut kelapa daripada tujuh batang pokok kelapa itu boleh dimasak gulai untuk kenduri satu kampung.  Air kelapa muda pula, kami jadikan 'coconut shake'.  Fuh, enak sungguh 'coconut shake' yang dibuat oleh anak lelaki saya, Danial.  Pendek kata, kami menikmati 'coconut shake sepuas-puasnya, maklumlah kelapa muda berlambak-lambak.  Daripada sebatang umbut kelapa, saya potong kepada empat bahagian.  Dua bahagian sudah saya masak di rumah Umi saya di Wakaf Che Yeh, sebahagian lagi disimpan di rumah umi saya, manakala sebahagian lagi saya bawa pulang ke Ampang.  Sebatang lagi umbut kelapa belum diproses.  Baru hari ini saya berkesempatan memasaknya untuk dibawa ke sekolah dan makan beramai-ramai dengan kawan-kawan. Kawan-kawan puji sedapppp...dan rasanya macam gulai kenduri kawah di Kelantan....cubalah...Malam ini, suami saya makan nasi tiga pinggan dek penangan gulai darat umbut kelapa nih...Tak percaya?  Cubalah...

Saturday, December 22, 2012

Siakap Kukus



Bahan-bahan :

1 ekor ikan siakap besar (dikelar)
2 biji bawang besar (dihiris bulat)
1 inci halia (dihiris nipis)
3 batang serai (diketuk)
3 ulas bawang putih (dihiris)
6 tangkai cili padi (dipotong kecil)
2 biji buah tomato (dipotong 4)
3 biji asamboi
1/2 biji jus lemon
Daun sup (dipotong kecil sederhana kasar)


Cara Penyediaan :

1.  Lumurkan ikan dengan garam dan serbuk perasa.  
     Letakkan dalam mangkuk / pinggan pengukus.
2.  Tabur semua bahan hirisan di atas ikan.
3.  Isikan air ke dalam mangkuk / pinggan. 
4.  Masukkan sedikit lagi garam dan serbuk perasa.
5.  Kukus ikan dalam periuk pengukus atau mikrowave
     selama 15-20 minit.
4.  Setelah masak, tabur daun sup dan perah  jus lemon di
     atas ikan.  Siap untuk dimakan.

Ayam Mangga


Bahan bahan :

Bahan  A : Perapan Ayam 
10 keping dada ayam (dipotong dadu)
Kunyit
Garam
Serbuk perasa
1 inci halia (ditumbuk)
2 biji putih telor
2 sudu besar tepung jagung
5 sudu besar tepung gandum

Bahan B : Sos Ayam
1 buku bawang bawang putih (tumbuk lumat)
1 botol sos plum (kecil)
Gula
Garam
Air
1 biji jus lemon
  
Bahan C : Kerabu
2-3 biji mangga muda (diparut)
10 tangkai cili padi (potong halus)
5 ulas bawang merah (dihiris nipis-nipis)

Cara Penyediaan :

1.  Gaul isi ayam, halia, putih telor, kunyit, garam dan
     serbuk perasa hingga sebati.
2.  Golekkan atas campuran tepung gandum dan tepung
     jagung. 
3.  Goreng hingga kekuningan.  Ketepikan.
4.  Tumis bawang putih di dalam kuali.  
5.  Masukkan  sos plum, gula, garam, dan air serta jus lemon.
     Biarkan sos mendidih dan pekat. 
6.  Letakkan ayam di atas pinggan.  Tabur bahan C.  Curah
     sos di atas ayam.  Sedia untuk dimakan.

Tuesday, December 4, 2012

Kerabu Kaki Ayam


Bahan-bahan :

1 kilo kaki ayam
1 biji bawang besar (dipotong nipis-nipis)
2 biji buah tomato (dipotong dadu)
10 biji cili padi (dipotong nipis-nipis)
5 biji limau nipis
1 ikat daun bawang (potong sederhana)
Gula
Garam

Cara Penyediaan :

1.  Bersihkan kaki ayam.  Potong buang kuku.
2.  Rebus kaki ayam hingga lembut (30 minit dalam pressure
     cooker)
3.  Tarik tulang betis hingga tercabut. Masukkan ke dalam 
     besen kecil.
4.  Masukkan bawang besar, buah tomato, cili padi, gula, 
     garam secukup rasa dan perahan air limau nipis.
5.  Gaulkan semua bahan.
6.  Siap untuk dihidangkan dan dimakan.

Alkisahnya :


        Dulu saya pernah makan kerabu kaki ayam di Restoran Abang Him di Gombak.  Rasanya sungguh sedap.  Kemudian apabila saya mengandungkan anak ke-5, saya mengidam hendak makan kerabu kaki ayam Abang Him.  Saya ajak suami pergi ke restoran itu, tapi suami malas nak pergi.  Saya rasa sangat sedih.  Jadi, saya pun cuba buat sendiri, tapi tak menjadi.  Seminggu selepas itu, suami bawa saya makan kerabu kaki ayam di Restoran Nasi Air di Jalan Bayam, Kota Bharu (kebetulan kami balik ke Kota Bharu).  Rasanya lebih kurang sama dengan rasa kerabu kaki ayam Abang Him.  Sebelum menghabiskannya, saya membelek-belek bahan yang diletakkan ke dalam kerabu kaki ayam itu.  Saya bercita-cita nak buat sendiri, sebab takut mengidam lagi.  Akhirnya saya cipta resepi ini berdasarkan bahan-bahan yang saya rasa dan lihat dalam kerabu kaki ayam tersebut. Mungkin ada bahan yang kurang, tapi saya tak kisah sebab rasanya sedap dan sama seperti rasa kerabu kaki ayam di Restoran Abang Him.

        Dulu, sebelum saya beli periuk tekanan (pressure cooker), saya rebus kaki ayam tu dalam periuk biasa.  Kaki ayam tu menjadi kecut sebab kehilangan air.  Sejak  saya beli periuk tekanan tu, saya rebus kaki ayam dalam periuk itu.  Air tak kering dan kaki ayam tu kelihatan sungguh gemuk dan gebu, cantik  serta menggiurkan...hehehhehe, malah kerabu kaki ayam saya berasa lebih sedap. Saya berasa sangat teruja, sebab dah boleh lawan kerabu kaki ayam di Restoran Abang Him...hehehe...Suami dan anak-anak suka sangat makan kerabu kaki ayam.   Makan dengan nasi, sedap, ratah lagi sodap....hehehe...Selamat mencuba....