Bahan-bahan :
1 kilo beras perang (beras nasi dagang)
1 kilo beras wangi
1 cawan beras pulut
1/2 kilo santan
1 sudu besar halba
20 ulas bawang merah
3 labu bawang putih
2 inci halia
garam
gula
Cara Penyediaan :
1. Cuci semua beras dan rendam semalaman.
2. Masak santan di dalam periuk, kemudian masukkan hirisan bawang merah, bawang putih dan halia serta halba ke dalam santan. Masukkan juga gula dan garam. Masak di atas api yang sederhana dan sentiasa kacau agar santan tidak pecah minyak. Setelah santan masak dengan sempurna, matikan api.
3. Campurkan semua beras ke dalam besen, kemudian campurkan santan ke dalam beras, dan kacau hingga sebati. (santan dibahagi 3 untuk 3 kali proses mengharung/mengacau)
4. Masukkan beras yang telah disatukan dengan santan ke dalam periuk pengukus. Sebelum itu, lapik periuk pengukus dengan kain net, supaya beras tidak jatuh. (juga untuk memudahkan kita mengangkat beras yang telah dikukus ke dalam besen untuk proses 'mengharung' atau mengacau kali kedua dan ketiga. (setiap kali mengukus, selama 30 minit). Begitulah seterusnya hingga lengkap 3 kali proses mengukus dan nasi benar-benar masak.
5. Untuk mendapatkan aroma yang wangi, letakkan daun pandan semasa mengukus nasi.
6. Setelah masak, hidangkan nasi dagang bersama lauk gulai ayam, gulai ikan tongkol, telur rebus, dan acar timun.
Selamat mencuba dan selamat menjamu selera...
Resepi ni saya dapat daripada makcik penjual nasi dagang, hasil perbualan Umi saya dengan makcik tersebut. Lokasi perbualan ialah di Hospital Kota Bharu... hehehe Kalau guna beras perang sahaja, tak begitu terangkat. Dulu saya cuma guna beras perang, kemudian sejak dapat resepi di atas, saya menggunakan campuran beras tersebut, dan terbukti nasi dagang daripada campuran tiga jenis beras ini lebih sedap, lemak, wangi dan terangkat.
Cara mengukus dan memasak nasi dagang pula, hasil pemerhatian saya sendiri. Saya selalu memerhatikan arwah emak mentua saya memasak dan mengukus nasi dagang, kemudian saya cuba di rumah saya sendiri. Alhamdulillah, menjadi. Mestilah rasa bangga dan seronok sangat apatah lagi orang puji....hehehe..(opps....bukan riak ek....). Arwah emak mentua saya lapik pengukus dengan daun pisang, supaya nasi akan lebih wangi, tapi di rumah saya ni mana nak cari daun pisang. Nak beli malas, jadi guna sahaja kain langsir (bukan kain lagsir yang dah pakai ek,,,tapi yang belum pakai dan bersih, iaitu lebihan kain). Potonglah kain tu ikut ukuran periuk pengukus tau... haaa..begitulah kisahnya.....
No comments:
Post a Comment