Dari Dapur Cikgu Zue
Showing posts with label Nasi. Show all posts
Showing posts with label Nasi. Show all posts

Friday, May 4, 2012

Nasi Kerabu Tumis Kelantan


Nasi :
Masak beras dengan air bunga berwarna biru untuk nasi kerabu warna biru. 
Gunakan pewarna kuning telur untuk nasi kerabu warna kuning

Bahan-bahan :
 A.   Ulam
Timun
Taugeh
Kobis
Daun kesum
Kacang panjang
Serai
Bunga kantan
Daun kunyit

*Semua bahan dihiris halus.

 B.  Kerabu Kelapa 
Bawang besar dipotong bulat sebagai hiasan
Cili besar hijau/merah – dipotong serong sebagai hiasan
Isi ikan rebus/bakar
Kelapa parut - digoreng tanpa minyak
Bawang merah
Serai
Lada hitam
Gula
Garam

1.   Isi ikan dan kelapa parut - ditumbuk kasar.
2.   Bawang merah, serai dan lada hitam ditumbuk lumat.
3.   Gaul semua bahan dan masukkan gula dan garam
      secukup rasa.

 C.  Tumisan
   1 kilo santan
    Cili kering
    5 batang serai ditindik
    5 keping asam keping
    Gula
    Garam

1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk, kemudian masak atas api sederhana. Sentiasa kacau.
2. Setelah santan mendidih, kecilkan api dan biarkan hingga santan pekat dan pecah minyak.

***Nasi dihidang bersama ulam, tumisan, budu, kerabu kelapa, telur asin, keropok keping.
Lauk tambahan -  ikan kembung goreng bertepung / hirisan daging bakar / ayam goreng.

Kisahnya :


       Biasanya masak nasi kerabu ni pada bulan puasa saja.  Hari-hari biasa, kalau nak makan, beli je kat makcik Kelantan  tu...hehehe..kat kantin sekolah pun selalu dijual.  Pada bulan puasa, kalau masak nasi kerabu, mesti buat banyak-banyak, kemudian jemput adik-beradik datang berbuka...seronok dan meriah gitu.....wallala...


Selamat mencuba dan selamat menjamu selera....

Nasi Dagang Kelantan



Bahan-bahan :
1 kilo beras perang (beras nasi dagang)
1 kilo beras wangi
1 cawan beras pulut

1/2 kilo santan
1 sudu besar halba
20 ulas  bawang merah
3 labu bawang putih
2 inci halia
garam
gula

Cara Penyediaan :  


1.  Cuci semua beras dan rendam semalaman.

2.  Masak santan di dalam periuk, kemudian masukkan      hirisan bawang merah, bawang putih dan halia serta halba ke dalam santan.  Masukkan juga gula dan garam. Masak di atas api yang sederhana dan sentiasa kacau agar santan tidak pecah minyak. Setelah santan masak dengan sempurna, matikan api.

3.  Campurkan semua beras ke dalam besen, kemudian  campurkan santan ke dalam beras, dan kacau hingga sebati. (santan dibahagi 3 untuk 3 kali proses mengharung/mengacau) 

4.  Masukkan beras yang telah disatukan dengan santan ke dalam periuk pengukus.  Sebelum itu, lapik periuk pengukus dengan kain net, supaya beras tidak jatuh. (juga untuk memudahkan kita mengangkat beras yang telah dikukus ke dalam besen untuk proses 'mengharung' atau mengacau kali kedua dan ketiga. (setiap kali  mengukus, selama 30 minit). Begitulah seterusnya hingga lengkap 3 kali proses mengukus dan nasi benar-benar masak.

5.  Untuk mendapatkan aroma yang wangi, letakkan daun pandan semasa mengukus nasi.

6.  Setelah masak, hidangkan nasi dagang bersama lauk gulai ayam, gulai ikan tongkol, telur rebus, dan acar     timun.

Selamat mencuba dan selamat menjamu selera...

Alkisahnya :

        Resepi ni saya dapat daripada makcik penjual nasi dagang, hasil perbualan Umi saya dengan makcik tersebut. Lokasi perbualan ialah di Hospital Kota Bharu... hehehe  Kalau guna beras perang sahaja, tak begitu terangkat. Dulu saya cuma guna beras perang, kemudian sejak dapat resepi di atas, saya menggunakan campuran beras tersebut, dan terbukti nasi dagang daripada campuran tiga jenis beras ini lebih sedap, lemak, wangi dan terangkat. 

     Cara mengukus dan memasak nasi dagang pula, hasil pemerhatian saya sendiri.  Saya selalu memerhatikan arwah emak mentua saya memasak dan mengukus nasi dagang, kemudian saya cuba di rumah saya sendiri.  Alhamdulillah, menjadi.  Mestilah rasa bangga dan seronok sangat apatah lagi orang puji....hehehe..(opps....bukan riak ek....).  Arwah emak mentua saya lapik pengukus dengan daun pisang, supaya nasi akan lebih wangi, tapi di rumah saya ni mana nak cari daun pisang.  Nak beli malas, jadi guna sahaja kain langsir (bukan kain lagsir yang dah pakai ek,,,tapi yang belum pakai dan bersih, iaitu lebihan kain).  Potonglah kain tu ikut ukuran periuk pengukus tau... haaa..begitulah kisahnya.....