Dari Dapur Cikgu Zue

Friday, May 4, 2012

Kuey Teow Ladna


Bahan-bahan :

Bahan A :
Bawang merah
Bawang  putih
Cili kering

Bahan B :
Sos tiram
Kicap cair
Kicap sotong
Pati ayam
Lada sulah (black pepper)
Air rebusan daging

1 sudu besar tepung jagung

Bahan C :
Isi ayam - di potong kiub
Sotong
Udang

Bahan D :
Jagung muda
Buah tomato
Bunga kobis
Sawi


Cara Penyediaan :

1. Goreng kuey teow dengan kicap masin – ketepikan
    dalam mangkuk.
2. Tumis bahan A di dalam periuk.
3. Masukkan bahan  B ke dalam periuk bersama bahan
    A.
4. Masukkan pula bahan C dan akhir sekali bahan  D.
5. Masukkan 1 sudu besar tepung jagung untuk pekatkan kuah.
6. Tuang kuah di atas kuey teow seblum dihidangkan.

Nasi Kerabu Tumis Kelantan


Nasi :
Masak beras dengan air bunga berwarna biru untuk nasi kerabu warna biru. 
Gunakan pewarna kuning telur untuk nasi kerabu warna kuning

Bahan-bahan :
 A.   Ulam
Timun
Taugeh
Kobis
Daun kesum
Kacang panjang
Serai
Bunga kantan
Daun kunyit

*Semua bahan dihiris halus.

 B.  Kerabu Kelapa 
Bawang besar dipotong bulat sebagai hiasan
Cili besar hijau/merah – dipotong serong sebagai hiasan
Isi ikan rebus/bakar
Kelapa parut - digoreng tanpa minyak
Bawang merah
Serai
Lada hitam
Gula
Garam

1.   Isi ikan dan kelapa parut - ditumbuk kasar.
2.   Bawang merah, serai dan lada hitam ditumbuk lumat.
3.   Gaul semua bahan dan masukkan gula dan garam
      secukup rasa.

 C.  Tumisan
   1 kilo santan
    Cili kering
    5 batang serai ditindik
    5 keping asam keping
    Gula
    Garam

1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk, kemudian masak atas api sederhana. Sentiasa kacau.
2. Setelah santan mendidih, kecilkan api dan biarkan hingga santan pekat dan pecah minyak.

***Nasi dihidang bersama ulam, tumisan, budu, kerabu kelapa, telur asin, keropok keping.
Lauk tambahan -  ikan kembung goreng bertepung / hirisan daging bakar / ayam goreng.

Kisahnya :


       Biasanya masak nasi kerabu ni pada bulan puasa saja.  Hari-hari biasa, kalau nak makan, beli je kat makcik Kelantan  tu...hehehe..kat kantin sekolah pun selalu dijual.  Pada bulan puasa, kalau masak nasi kerabu, mesti buat banyak-banyak, kemudian jemput adik-beradik datang berbuka...seronok dan meriah gitu.....wallala...


Selamat mencuba dan selamat menjamu selera....

Nasi Dagang Kelantan



Bahan-bahan :
1 kilo beras perang (beras nasi dagang)
1 kilo beras wangi
1 cawan beras pulut

1/2 kilo santan
1 sudu besar halba
20 ulas  bawang merah
3 labu bawang putih
2 inci halia
garam
gula

Cara Penyediaan :  


1.  Cuci semua beras dan rendam semalaman.

2.  Masak santan di dalam periuk, kemudian masukkan      hirisan bawang merah, bawang putih dan halia serta halba ke dalam santan.  Masukkan juga gula dan garam. Masak di atas api yang sederhana dan sentiasa kacau agar santan tidak pecah minyak. Setelah santan masak dengan sempurna, matikan api.

3.  Campurkan semua beras ke dalam besen, kemudian  campurkan santan ke dalam beras, dan kacau hingga sebati. (santan dibahagi 3 untuk 3 kali proses mengharung/mengacau) 

4.  Masukkan beras yang telah disatukan dengan santan ke dalam periuk pengukus.  Sebelum itu, lapik periuk pengukus dengan kain net, supaya beras tidak jatuh. (juga untuk memudahkan kita mengangkat beras yang telah dikukus ke dalam besen untuk proses 'mengharung' atau mengacau kali kedua dan ketiga. (setiap kali  mengukus, selama 30 minit). Begitulah seterusnya hingga lengkap 3 kali proses mengukus dan nasi benar-benar masak.

5.  Untuk mendapatkan aroma yang wangi, letakkan daun pandan semasa mengukus nasi.

6.  Setelah masak, hidangkan nasi dagang bersama lauk gulai ayam, gulai ikan tongkol, telur rebus, dan acar     timun.

Selamat mencuba dan selamat menjamu selera...

Alkisahnya :

        Resepi ni saya dapat daripada makcik penjual nasi dagang, hasil perbualan Umi saya dengan makcik tersebut. Lokasi perbualan ialah di Hospital Kota Bharu... hehehe  Kalau guna beras perang sahaja, tak begitu terangkat. Dulu saya cuma guna beras perang, kemudian sejak dapat resepi di atas, saya menggunakan campuran beras tersebut, dan terbukti nasi dagang daripada campuran tiga jenis beras ini lebih sedap, lemak, wangi dan terangkat. 

     Cara mengukus dan memasak nasi dagang pula, hasil pemerhatian saya sendiri.  Saya selalu memerhatikan arwah emak mentua saya memasak dan mengukus nasi dagang, kemudian saya cuba di rumah saya sendiri.  Alhamdulillah, menjadi.  Mestilah rasa bangga dan seronok sangat apatah lagi orang puji....hehehe..(opps....bukan riak ek....).  Arwah emak mentua saya lapik pengukus dengan daun pisang, supaya nasi akan lebih wangi, tapi di rumah saya ni mana nak cari daun pisang.  Nak beli malas, jadi guna sahaja kain langsir (bukan kain lagsir yang dah pakai ek,,,tapi yang belum pakai dan bersih, iaitu lebihan kain).  Potonglah kain tu ikut ukuran periuk pengukus tau... haaa..begitulah kisahnya..... 

Thursday, May 3, 2012

Wajik @ Nasi Manis Resepi Nenek


Bahan-bahan :

1 kilo beras pulut
1 kilo santan
1 kilo gula merah @ nisei
2 helai daun pandan
1 sudu kecil garam


Cara  Penyediaan :

1.  Bersihkan beras pulut, kemudian rendam selama lebih
     kurang 2 jam.
2.  Selepas itu, tanak  atau kukus beras pulut.
3.  Masak santan dan gula merah di dalam kuali besar 
     sehingga gula merah larut.  Kemudian tapis dengan
     menggunakan tapisan besar untuk mengasingkan 
     hampas gula merah.
4.  Masukkan semula santan yang telah ditapis tadi ke 
     dalam kuali, masukkan garam dan masak serta kacau
     santan sehingga pekat.
5.  Apabila santan agak pekat, masukkan beras pulut yang 
     sudah ditanak / dikukus ke dalam santan bersama daun
     pandan. Kacau lagi  hingga benar-benar pekat dan likat.
6.  Tuangkan ke dalam bekas.
7.  Hidangkan setelah sejuk.* Makan panas-panas pun 
     sedap.


Alkisahnya :


      Suami dan anak-anak memang suka sangat wajik ni.  Sebelum ni hanya Umi yang buat kat rumah WCY.  Dulu saya tak pernah nak ambil tahu pasal resepi wajik nih.  Tahu makan sahaja tapi sejak dah tua ni ( bukan tua sebenarnya, cuma semakin berumur...hehehe), baru terbuka hati nak cuba buat sendiri.  Mula-mula tu buat untuk jamuan rumah terbuka hari raya pada  tahun lepas (2011).  Masa mula-mula buat, rasa macam tak jadi, sebab waktu panas-panas tu, cuba rasa sedikit. Ya Allah, punyalah manis.  Terlebih gula merahke?  Tak mungkin sebab apabila call Umi dan tanya, Umi  kata  memang 1 kilo gula merah. Hati rasa tak seronok.  Apa-apa pun, terpaksa hidangkan juga pada hari kejadian (rumah terbuka). 

       Pada hari tersebut, kawan-kawan yang makan, semuanya memuji.  Mereka kata, dah lama tak makan wajik. Saya tanya, "tak manis sangatke?" Mereka jawab, "Ok je...sedapppp".  Saya tersenyum puas.  Betullah kata Umi, waktu masih panas, memang terasa sangat manis, tapi bila dah sejuk, rasa ok je"  Sejak hari itu, Liza iaitu kerani di sekolah tempah 1 kilo wajik sempena jamuan persaraan Pn. Sit Lijah (bekas PK 1 SMKTT).  Lepas tu, Kak Shima pula tempah.  Kak Shima dah tempah 3 kali.  Kali yang terakhir sebanyak 2 kilo untuk kenduri kahwin anak saudaranya.  Mula-mula tu dia hendak tempah banyak, iaitu dia suruh saya masukkan ke dalam 400 bekas kecil sebagai sisa kepada tetamu.  Pada mulanya, tanpa berfikir panjang saya bersetuju.  Balik dari sekolah, saya terfikir-fikir.  400 bekas kecil tu banyak, bukannya sedikt.  laratkah saya membuatnya?  Saya cuma ada kuali sederhana besar sahaja, sekadar nak kacau 1 kilo wajik bolehlah. Entah berapa kali nak kena kacau?  Ehh...tak bolehlah...Keesokkan harinya saya beritahu Kak Shima, saya tak sanggup.    Kak Shima kata, kalau macam tu, 2 kilo pun jadilah untuk makan anak beranak.  Katanya lagi, kakaknya suka sangat wajik buatan saya sebab lembut. Jadi dia harap sangat-sangat saya dapat buat 2 kilo pun jadilah.  Saya bersetuju dan pada hari malam Jumaat lepas, saya telah siapkan 2 kilo wajik untuk Kak Shima. Tadaaa....

       Oh ya, kalau nak wajik tu keras sikit, beras pulut dikukus, tapi kalau nak wajik tu lembut, beras pulut ditanak dengan air separas beras dalam periuk vision.  Masukkan ke dalam microvawe selama 30 minit.  Selepas 15 minit  pertama,  keluarkan dan balik-balikkan pulut, kemudian masukkan semula dan masak selama 15 minit lagi.

       Lagi satu, kalau anda penggemar  buah durian, masukkanlah beberapa ulas isi durian dengan bijinya sekali atau lempuk durian semasa kacau santan, hasilnya jadilah wajik durian....wooo...terangkat habis.....sedapppp.... 

Selamat mencuba.... dan kalau dah cuba, berilah komen sikit, dan silalah like, ok....