Dari Dapur Cikgu Zue

Tuesday, December 4, 2012

Spagetthi Bollognese


Bahan-bahan :

1 kilo daging kisar (kisar sendiri atau daging kisar Ramly)
1 kilo bawang besar (dikisar kasar)
1 labu bawang putih (tumbuk pecah-pecah)
1 kilo tomato buah (direbus kemudian dikisar kasar)
1 senduk kecil cili kering yang telah dikisar
2 tin tomato puree 'Duchef'
2 tin cendawan butang (dipotong nipis atau dipotong dadu)
3 sudu besar rempah spagetthi @
1 sudu besar Oregano,1 sudu besar Thyme dan 1 sudu besar Basil 
Sedikit gula
Garam secukup rasa


Cara Penyediaan :

1. Tumis bawang  putih dan cili kering sehingga  garing.
2.  Masukkan daging kisar.
3.  Kacau sehingga sebati.  Biarkan sebentar sehingga
     daging masak dan air daging merenih (air daging keluar)
4.  Masukkan rempah spagetthi atau thyme, basil dan 
     oregano.  Biarkan sebentar.
5. Masukkan bawang besar, tomato kisar, cendawan butang
    dan tomato puree.  Kacau lagi sehingga sebati.
6. Masukkan sedikit gula (sekadar untuk membangkitkan
    rasa sahaja) dan garam secukup rasa. 
7. Biarkan hingga masak.  Jika terlalu pekat, tambah sedikit
    air tapi pastikan kuah tidak cair.
8. Setelah masak, biarkan semalaman sebelum dihidangkan
    dengan spagetthi agar rasa kuah benar-benar mesra 
    (sebati atau berpalut - tidak berbau dan berasa bawang). 

Alkisahnya....


       Resepi ini saya belajar di Jabatan Pertanian di Lundang, Kota Bharu sekitar tahun 1991-1992.  Pada masa itu saya mengikuti Program Memasak yang dianjurkan oleh HAAK (Himpunan Anak-anak Kelantan) USM semasa cuti antara semester. Banyak lagi resepi masakan yang saya pelajari di situ, tapi hanya resepi ini yang kekal dan selalu saya buat hingga sekarang dan resepi ini menjadi kegemaran kami sekeluarga sejak dulu.

             Kalau mengikut cara yang saya pelajari dulu, buah tomato direbus, kemudian dibuang kulitnya sebelum dilenyek dengan penekan burger.  Oleh sebab zaman dah semakin moden, saya blend je buah tomato yang telah direbus dengan kulit-kulitnya sekali sebab lebih menjimatkan masa dan tenaga...hehehhe (malas sebenarnya).  Begitu juga dengan bawang, kalau mengikut cara yang saya pelajari dulu, bawang dipotong dadu...huhuhu..tak laratlah, asyik duk menangis je kalau nak masak kuah spaggethi ni...jadi, blend lebih senang...hehehhe (pun sebab malas).  Tomato puree pula, gunakan jenama Duchef sahaja tau.  Saya pernah gunakan jenama lain seperti Kimball dan lain-lain, hasilnya kuah jadi tak sedap.  Anak-anak asyik duk tanya, kenapa rasa lain?  Jadi, pastikan anda menggunakan puree tomato jenama Duchef sahaja sepertimana yang saya pelajari dulu.  Kalau anda rasa kuahnya kurang masam, tambahlah puree tomato, dan jika kurang rasa rempah, tambahlah rempah. ok?  

        Kuah spagetthi ini, kalau disimpan lebih lama lebih sedap sebab rasanya dah mesra (sebati dan berpalut).  Jika baru dimasak dan terus dihidangkan, rasanya tak sedap sebab terasa dan berbau bawang, tak terangkat gitu....  Setiap kali raya di Wakaf Che Yeh, saya akan masak kuah spagetthi ini seperiuk besar (periuk kenduri kahwin gitu), sebab spagetthi buatan saya ini menjadi pilihan utama tetamu yang datang berkunjung ke rumah kami.  Mereka  lebih suka makan spagetthi daripada nasi sebab di kebanyakan rumah di Kelantan, menu utama pada hari raya ialah nasi seperti nasi dagang, nasi kerabu, nasi minyak dan bermacam-macam jenis nasi lagi).

          Abah saya juga sangat sukakan spagetthi saya ni, malah semua ahli keluarga saya.  Kalau ada lebihan kuah spagetthi, Abah minta  saya simpan sebab Abah nak cicah kuah spagetthi dengan roti.  Saya sendiri tak pernah cicah kuah spaggethi dengan roti.  Apabila saya bertanya kepada Abah, sedapke cicah kuah spagetthi dengan roti, dia jawab sedapppp sangat.  Hahaha...apa-apa jelah, asalkan Abah saya bahagia.
   
         Jadi, kepada anda, jangan baca sahaja, cubalah ya...ok, selamat mencuba.....



No comments:

Post a Comment