Dari Dapur Cikgu Zue

Saturday, December 22, 2012

Siakap Kukus



Bahan-bahan :

1 ekor ikan siakap besar (dikelar)
2 biji bawang besar (dihiris bulat)
1 inci halia (dihiris nipis)
3 batang serai (diketuk)
3 ulas bawang putih (dihiris)
6 tangkai cili padi (dipotong kecil)
2 biji buah tomato (dipotong 4)
3 biji asamboi
1/2 biji jus lemon
Daun sup (dipotong kecil sederhana kasar)


Cara Penyediaan :

1.  Lumurkan ikan dengan garam dan serbuk perasa.  
     Letakkan dalam mangkuk / pinggan pengukus.
2.  Tabur semua bahan hirisan di atas ikan.
3.  Isikan air ke dalam mangkuk / pinggan. 
4.  Masukkan sedikit lagi garam dan serbuk perasa.
5.  Kukus ikan dalam periuk pengukus atau mikrowave
     selama 15-20 minit.
4.  Setelah masak, tabur daun sup dan perah  jus lemon di
     atas ikan.  Siap untuk dimakan.

Ayam Mangga


Bahan bahan :

Bahan  A : Perapan Ayam 
10 keping dada ayam (dipotong dadu)
Kunyit
Garam
Serbuk perasa
1 inci halia (ditumbuk)
2 biji putih telor
2 sudu besar tepung jagung
5 sudu besar tepung gandum

Bahan B : Sos Ayam
1 buku bawang bawang putih (tumbuk lumat)
1 botol sos plum (kecil)
Gula
Garam
Air
1 biji jus lemon
  
Bahan C : Kerabu
2-3 biji mangga muda (diparut)
10 tangkai cili padi (potong halus)
5 ulas bawang merah (dihiris nipis-nipis)

Cara Penyediaan :

1.  Gaul isi ayam, halia, putih telor, kunyit, garam dan
     serbuk perasa hingga sebati.
2.  Golekkan atas campuran tepung gandum dan tepung
     jagung. 
3.  Goreng hingga kekuningan.  Ketepikan.
4.  Tumis bawang putih di dalam kuali.  
5.  Masukkan  sos plum, gula, garam, dan air serta jus lemon.
     Biarkan sos mendidih dan pekat. 
6.  Letakkan ayam di atas pinggan.  Tabur bahan C.  Curah
     sos di atas ayam.  Sedia untuk dimakan.

Tuesday, December 4, 2012

Makaroni Goreng

Bahan-bahan :

1 peket makaroni (rebus dan toskan)
1 peket kecil daging/ ayam kisar (jenama Ramly)
1 biji bawang besar (cincna halus)
3 ulas bawang putih
Cili kering yang telah dikisar
2 sudu besar mix herbs.
3-4 sudu butter untuk menumis
1 tin tamato puree 'Duchef'
1 batang carrot diparut sederhana halus (jika suka)
5 biji telor
1 ikat daun sup
Bawang goreng

Cara Penyediaan :

1.  Tumis bawang putih dengan butter hingga naik bau, 
      kemudian tumis bawang besar  dan cili kering hingga 
      garing.
2.  Masukkan daging.  Biarkan hingga masak.  Masukkan 
     mix herbs, gula dan garam.
3.  Masukkan carrot dan biarkan sekejap. 
4.  Masukkan makaroni serta tomato puree. Kacau hingga 
     sebati. 
5.  Pecahkan telor ke dalam makaroni dan letakkan
     beberapa sudu besar butter. 
6.  Biarkan telor masak sedikit dan butter cair, kemudian 
     kacau hingga mesra.
5.  Semasa dihidangkan, tabur chesse  serbuk, bawang 
     goreng dan daun sup.  Sedia untuk dimakan.

Alkisahnya :

         Resepi ini saya belajar daripada Umi saya dengan sedikit pengubahsuaian.  Makaroni goreng ini juga antara makanan kegemaran keluarga saya.  Rasanya sungguh sedap.  Selamat mencuba....


Kerabu Kaki Ayam


Bahan-bahan :

1 kilo kaki ayam
1 biji bawang besar (dipotong nipis-nipis)
2 biji buah tomato (dipotong dadu)
10 biji cili padi (dipotong nipis-nipis)
5 biji limau nipis
1 ikat daun bawang (potong sederhana)
Gula
Garam

Cara Penyediaan :

1.  Bersihkan kaki ayam.  Potong buang kuku.
2.  Rebus kaki ayam hingga lembut (30 minit dalam pressure
     cooker)
3.  Tarik tulang betis hingga tercabut. Masukkan ke dalam 
     besen kecil.
4.  Masukkan bawang besar, buah tomato, cili padi, gula, 
     garam secukup rasa dan perahan air limau nipis.
5.  Gaulkan semua bahan.
6.  Siap untuk dihidangkan dan dimakan.

Alkisahnya :


        Dulu saya pernah makan kerabu kaki ayam di Restoran Abang Him di Gombak.  Rasanya sungguh sedap.  Kemudian apabila saya mengandungkan anak ke-5, saya mengidam hendak makan kerabu kaki ayam Abang Him.  Saya ajak suami pergi ke restoran itu, tapi suami malas nak pergi.  Saya rasa sangat sedih.  Jadi, saya pun cuba buat sendiri, tapi tak menjadi.  Seminggu selepas itu, suami bawa saya makan kerabu kaki ayam di Restoran Nasi Air di Jalan Bayam, Kota Bharu (kebetulan kami balik ke Kota Bharu).  Rasanya lebih kurang sama dengan rasa kerabu kaki ayam Abang Him.  Sebelum menghabiskannya, saya membelek-belek bahan yang diletakkan ke dalam kerabu kaki ayam itu.  Saya bercita-cita nak buat sendiri, sebab takut mengidam lagi.  Akhirnya saya cipta resepi ini berdasarkan bahan-bahan yang saya rasa dan lihat dalam kerabu kaki ayam tersebut. Mungkin ada bahan yang kurang, tapi saya tak kisah sebab rasanya sedap dan sama seperti rasa kerabu kaki ayam di Restoran Abang Him.

        Dulu, sebelum saya beli periuk tekanan (pressure cooker), saya rebus kaki ayam tu dalam periuk biasa.  Kaki ayam tu menjadi kecut sebab kehilangan air.  Sejak  saya beli periuk tekanan tu, saya rebus kaki ayam dalam periuk itu.  Air tak kering dan kaki ayam tu kelihatan sungguh gemuk dan gebu, cantik  serta menggiurkan...hehehhehe, malah kerabu kaki ayam saya berasa lebih sedap. Saya berasa sangat teruja, sebab dah boleh lawan kerabu kaki ayam di Restoran Abang Him...hehehe...Suami dan anak-anak suka sangat makan kerabu kaki ayam.   Makan dengan nasi, sedap, ratah lagi sodap....hehehe...Selamat mencuba....




Spagetthi Bollognese


Bahan-bahan :

1 kilo daging kisar (kisar sendiri atau daging kisar Ramly)
1 kilo bawang besar (dikisar kasar)
1 labu bawang putih (tumbuk pecah-pecah)
1 kilo tomato buah (direbus kemudian dikisar kasar)
1 senduk kecil cili kering yang telah dikisar
2 tin tomato puree 'Duchef'
2 tin cendawan butang (dipotong nipis atau dipotong dadu)
3 sudu besar rempah spagetthi @
1 sudu besar Oregano,1 sudu besar Thyme dan 1 sudu besar Basil 
Sedikit gula
Garam secukup rasa


Cara Penyediaan :

1. Tumis bawang  putih dan cili kering sehingga  garing.
2.  Masukkan daging kisar.
3.  Kacau sehingga sebati.  Biarkan sebentar sehingga
     daging masak dan air daging merenih (air daging keluar)
4.  Masukkan rempah spagetthi atau thyme, basil dan 
     oregano.  Biarkan sebentar.
5. Masukkan bawang besar, tomato kisar, cendawan butang
    dan tomato puree.  Kacau lagi sehingga sebati.
6. Masukkan sedikit gula (sekadar untuk membangkitkan
    rasa sahaja) dan garam secukup rasa. 
7. Biarkan hingga masak.  Jika terlalu pekat, tambah sedikit
    air tapi pastikan kuah tidak cair.
8. Setelah masak, biarkan semalaman sebelum dihidangkan
    dengan spagetthi agar rasa kuah benar-benar mesra 
    (sebati atau berpalut - tidak berbau dan berasa bawang). 

Alkisahnya....


       Resepi ini saya belajar di Jabatan Pertanian di Lundang, Kota Bharu sekitar tahun 1991-1992.  Pada masa itu saya mengikuti Program Memasak yang dianjurkan oleh HAAK (Himpunan Anak-anak Kelantan) USM semasa cuti antara semester. Banyak lagi resepi masakan yang saya pelajari di situ, tapi hanya resepi ini yang kekal dan selalu saya buat hingga sekarang dan resepi ini menjadi kegemaran kami sekeluarga sejak dulu.

             Kalau mengikut cara yang saya pelajari dulu, buah tomato direbus, kemudian dibuang kulitnya sebelum dilenyek dengan penekan burger.  Oleh sebab zaman dah semakin moden, saya blend je buah tomato yang telah direbus dengan kulit-kulitnya sekali sebab lebih menjimatkan masa dan tenaga...hehehhe (malas sebenarnya).  Begitu juga dengan bawang, kalau mengikut cara yang saya pelajari dulu, bawang dipotong dadu...huhuhu..tak laratlah, asyik duk menangis je kalau nak masak kuah spaggethi ni...jadi, blend lebih senang...hehehhe (pun sebab malas).  Tomato puree pula, gunakan jenama Duchef sahaja tau.  Saya pernah gunakan jenama lain seperti Kimball dan lain-lain, hasilnya kuah jadi tak sedap.  Anak-anak asyik duk tanya, kenapa rasa lain?  Jadi, pastikan anda menggunakan puree tomato jenama Duchef sahaja sepertimana yang saya pelajari dulu.  Kalau anda rasa kuahnya kurang masam, tambahlah puree tomato, dan jika kurang rasa rempah, tambahlah rempah. ok?  

        Kuah spagetthi ini, kalau disimpan lebih lama lebih sedap sebab rasanya dah mesra (sebati dan berpalut).  Jika baru dimasak dan terus dihidangkan, rasanya tak sedap sebab terasa dan berbau bawang, tak terangkat gitu....  Setiap kali raya di Wakaf Che Yeh, saya akan masak kuah spagetthi ini seperiuk besar (periuk kenduri kahwin gitu), sebab spagetthi buatan saya ini menjadi pilihan utama tetamu yang datang berkunjung ke rumah kami.  Mereka  lebih suka makan spagetthi daripada nasi sebab di kebanyakan rumah di Kelantan, menu utama pada hari raya ialah nasi seperti nasi dagang, nasi kerabu, nasi minyak dan bermacam-macam jenis nasi lagi).

          Abah saya juga sangat sukakan spagetthi saya ni, malah semua ahli keluarga saya.  Kalau ada lebihan kuah spagetthi, Abah minta  saya simpan sebab Abah nak cicah kuah spagetthi dengan roti.  Saya sendiri tak pernah cicah kuah spaggethi dengan roti.  Apabila saya bertanya kepada Abah, sedapke cicah kuah spagetthi dengan roti, dia jawab sedapppp sangat.  Hahaha...apa-apa jelah, asalkan Abah saya bahagia.
   
         Jadi, kepada anda, jangan baca sahaja, cubalah ya...ok, selamat mencuba.....



Puding Caramel Gula Hangus
















Bahan-bahan :

10 biji telor 
1 tin susu pekat
1 tin susu cair
1 tin air
1 sudu kecil essen vanila
3 keping roti putih (dicubit-cubit - kalau lebih roti, puding akan jadi lebih keras, berasa kurang sedap)
5 sudu besar gula pasir


Cara Penyediaan :

1.  Hanguskan gula pasir di dalam loyang pembakar.  
2.  Masukkan telor, roti dan susu pekat ke dalam blender.  
     Blend hingga halus.
3.  Keluarkan bahan yang telah diblend, kemudian 
     masukkan  ke dalam besen kecil.
4.  Masukkan susu cair dan air ke dalam besen. Kacau 
     hingga sebati.
5.  Masukkan adunan ke dalam loyang yang mengandungi 
     gula hangus.
6.  Kukus selama 1 jam.
7.  Biarkan sejuk sebelum diterbalikkan.
8.  Siap untuk dihidangkan dan dimakan.

Alkisahnya...


      Puding caramel ni biasa orang buat, tapi dengan pelbagai resepi.  Sesetengah orang tak tambah air.  Saya tak suka yang tak tambah air sebab puding  menjadi sangat kental (tak lembut). Dulu-dulu saya buat guna gula pasir, tapi beberapa tahun yang lepas, saya gantikan gula dengan susu pekat dan tambah beberapa keping roti.  Resepi baharu ini saya belajar dari Kak Long saya yang tinggal di kampung.  Hasilnya, puding caramel saya kelihatan lebih cantik dan sedap....membuatnya pun sangatlah senang.....anak-anak dan suami pun sangat-sangat menggemarinya....cubalah....



      ***Kalau nak buat puding roti pun sama resepinya, cuma roti tu jangan diblend, carik-carikkan dan rendam dalam bahan kisar lebih kurang setengah jam sehingga roti menjadi kembang.  Gunakan roti whole meal (warna coklat). Boleh bakar atau kukus.  Sebelum dibakar atau dikukus, taburkan buah kismis agar kelihatan cantik gitu...tapi anak-anak saya tak suka kismis, mereka akan buang kismis, jadi rugilah kalau saya letakkan kismis....hmmm...kalau nak dihidangkan kepada mereka, saya tak tabur kismis, tapi kalau nak dihidangkan kepada tetamu, saya tabur ksimis...pilihan di tangan anda...kan kan kan...

Friday, May 4, 2012

Kuey Teow Ladna


Bahan-bahan :

Bahan A :
Bawang merah
Bawang  putih
Cili kering

Bahan B :
Sos tiram
Kicap cair
Kicap sotong
Pati ayam
Lada sulah (black pepper)
Air rebusan daging

1 sudu besar tepung jagung

Bahan C :
Isi ayam - di potong kiub
Sotong
Udang

Bahan D :
Jagung muda
Buah tomato
Bunga kobis
Sawi


Cara Penyediaan :

1. Goreng kuey teow dengan kicap masin – ketepikan
    dalam mangkuk.
2. Tumis bahan A di dalam periuk.
3. Masukkan bahan  B ke dalam periuk bersama bahan
    A.
4. Masukkan pula bahan C dan akhir sekali bahan  D.
5. Masukkan 1 sudu besar tepung jagung untuk pekatkan kuah.
6. Tuang kuah di atas kuey teow seblum dihidangkan.

Nasi Kerabu Tumis Kelantan


Nasi :
Masak beras dengan air bunga berwarna biru untuk nasi kerabu warna biru. 
Gunakan pewarna kuning telur untuk nasi kerabu warna kuning

Bahan-bahan :
 A.   Ulam
Timun
Taugeh
Kobis
Daun kesum
Kacang panjang
Serai
Bunga kantan
Daun kunyit

*Semua bahan dihiris halus.

 B.  Kerabu Kelapa 
Bawang besar dipotong bulat sebagai hiasan
Cili besar hijau/merah – dipotong serong sebagai hiasan
Isi ikan rebus/bakar
Kelapa parut - digoreng tanpa minyak
Bawang merah
Serai
Lada hitam
Gula
Garam

1.   Isi ikan dan kelapa parut - ditumbuk kasar.
2.   Bawang merah, serai dan lada hitam ditumbuk lumat.
3.   Gaul semua bahan dan masukkan gula dan garam
      secukup rasa.

 C.  Tumisan
   1 kilo santan
    Cili kering
    5 batang serai ditindik
    5 keping asam keping
    Gula
    Garam

1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk, kemudian masak atas api sederhana. Sentiasa kacau.
2. Setelah santan mendidih, kecilkan api dan biarkan hingga santan pekat dan pecah minyak.

***Nasi dihidang bersama ulam, tumisan, budu, kerabu kelapa, telur asin, keropok keping.
Lauk tambahan -  ikan kembung goreng bertepung / hirisan daging bakar / ayam goreng.

Kisahnya :


       Biasanya masak nasi kerabu ni pada bulan puasa saja.  Hari-hari biasa, kalau nak makan, beli je kat makcik Kelantan  tu...hehehe..kat kantin sekolah pun selalu dijual.  Pada bulan puasa, kalau masak nasi kerabu, mesti buat banyak-banyak, kemudian jemput adik-beradik datang berbuka...seronok dan meriah gitu.....wallala...


Selamat mencuba dan selamat menjamu selera....

Nasi Dagang Kelantan



Bahan-bahan :
1 kilo beras perang (beras nasi dagang)
1 kilo beras wangi
1 cawan beras pulut

1/2 kilo santan
1 sudu besar halba
20 ulas  bawang merah
3 labu bawang putih
2 inci halia
garam
gula

Cara Penyediaan :  


1.  Cuci semua beras dan rendam semalaman.

2.  Masak santan di dalam periuk, kemudian masukkan      hirisan bawang merah, bawang putih dan halia serta halba ke dalam santan.  Masukkan juga gula dan garam. Masak di atas api yang sederhana dan sentiasa kacau agar santan tidak pecah minyak. Setelah santan masak dengan sempurna, matikan api.

3.  Campurkan semua beras ke dalam besen, kemudian  campurkan santan ke dalam beras, dan kacau hingga sebati. (santan dibahagi 3 untuk 3 kali proses mengharung/mengacau) 

4.  Masukkan beras yang telah disatukan dengan santan ke dalam periuk pengukus.  Sebelum itu, lapik periuk pengukus dengan kain net, supaya beras tidak jatuh. (juga untuk memudahkan kita mengangkat beras yang telah dikukus ke dalam besen untuk proses 'mengharung' atau mengacau kali kedua dan ketiga. (setiap kali  mengukus, selama 30 minit). Begitulah seterusnya hingga lengkap 3 kali proses mengukus dan nasi benar-benar masak.

5.  Untuk mendapatkan aroma yang wangi, letakkan daun pandan semasa mengukus nasi.

6.  Setelah masak, hidangkan nasi dagang bersama lauk gulai ayam, gulai ikan tongkol, telur rebus, dan acar     timun.

Selamat mencuba dan selamat menjamu selera...

Alkisahnya :

        Resepi ni saya dapat daripada makcik penjual nasi dagang, hasil perbualan Umi saya dengan makcik tersebut. Lokasi perbualan ialah di Hospital Kota Bharu... hehehe  Kalau guna beras perang sahaja, tak begitu terangkat. Dulu saya cuma guna beras perang, kemudian sejak dapat resepi di atas, saya menggunakan campuran beras tersebut, dan terbukti nasi dagang daripada campuran tiga jenis beras ini lebih sedap, lemak, wangi dan terangkat. 

     Cara mengukus dan memasak nasi dagang pula, hasil pemerhatian saya sendiri.  Saya selalu memerhatikan arwah emak mentua saya memasak dan mengukus nasi dagang, kemudian saya cuba di rumah saya sendiri.  Alhamdulillah, menjadi.  Mestilah rasa bangga dan seronok sangat apatah lagi orang puji....hehehe..(opps....bukan riak ek....).  Arwah emak mentua saya lapik pengukus dengan daun pisang, supaya nasi akan lebih wangi, tapi di rumah saya ni mana nak cari daun pisang.  Nak beli malas, jadi guna sahaja kain langsir (bukan kain lagsir yang dah pakai ek,,,tapi yang belum pakai dan bersih, iaitu lebihan kain).  Potonglah kain tu ikut ukuran periuk pengukus tau... haaa..begitulah kisahnya..... 

Thursday, May 3, 2012

Wajik @ Nasi Manis Resepi Nenek


Bahan-bahan :

1 kilo beras pulut
1 kilo santan
1 kilo gula merah @ nisei
2 helai daun pandan
1 sudu kecil garam


Cara  Penyediaan :

1.  Bersihkan beras pulut, kemudian rendam selama lebih
     kurang 2 jam.
2.  Selepas itu, tanak  atau kukus beras pulut.
3.  Masak santan dan gula merah di dalam kuali besar 
     sehingga gula merah larut.  Kemudian tapis dengan
     menggunakan tapisan besar untuk mengasingkan 
     hampas gula merah.
4.  Masukkan semula santan yang telah ditapis tadi ke 
     dalam kuali, masukkan garam dan masak serta kacau
     santan sehingga pekat.
5.  Apabila santan agak pekat, masukkan beras pulut yang 
     sudah ditanak / dikukus ke dalam santan bersama daun
     pandan. Kacau lagi  hingga benar-benar pekat dan likat.
6.  Tuangkan ke dalam bekas.
7.  Hidangkan setelah sejuk.* Makan panas-panas pun 
     sedap.


Alkisahnya :


      Suami dan anak-anak memang suka sangat wajik ni.  Sebelum ni hanya Umi yang buat kat rumah WCY.  Dulu saya tak pernah nak ambil tahu pasal resepi wajik nih.  Tahu makan sahaja tapi sejak dah tua ni ( bukan tua sebenarnya, cuma semakin berumur...hehehe), baru terbuka hati nak cuba buat sendiri.  Mula-mula tu buat untuk jamuan rumah terbuka hari raya pada  tahun lepas (2011).  Masa mula-mula buat, rasa macam tak jadi, sebab waktu panas-panas tu, cuba rasa sedikit. Ya Allah, punyalah manis.  Terlebih gula merahke?  Tak mungkin sebab apabila call Umi dan tanya, Umi  kata  memang 1 kilo gula merah. Hati rasa tak seronok.  Apa-apa pun, terpaksa hidangkan juga pada hari kejadian (rumah terbuka). 

       Pada hari tersebut, kawan-kawan yang makan, semuanya memuji.  Mereka kata, dah lama tak makan wajik. Saya tanya, "tak manis sangatke?" Mereka jawab, "Ok je...sedapppp".  Saya tersenyum puas.  Betullah kata Umi, waktu masih panas, memang terasa sangat manis, tapi bila dah sejuk, rasa ok je"  Sejak hari itu, Liza iaitu kerani di sekolah tempah 1 kilo wajik sempena jamuan persaraan Pn. Sit Lijah (bekas PK 1 SMKTT).  Lepas tu, Kak Shima pula tempah.  Kak Shima dah tempah 3 kali.  Kali yang terakhir sebanyak 2 kilo untuk kenduri kahwin anak saudaranya.  Mula-mula tu dia hendak tempah banyak, iaitu dia suruh saya masukkan ke dalam 400 bekas kecil sebagai sisa kepada tetamu.  Pada mulanya, tanpa berfikir panjang saya bersetuju.  Balik dari sekolah, saya terfikir-fikir.  400 bekas kecil tu banyak, bukannya sedikt.  laratkah saya membuatnya?  Saya cuma ada kuali sederhana besar sahaja, sekadar nak kacau 1 kilo wajik bolehlah. Entah berapa kali nak kena kacau?  Ehh...tak bolehlah...Keesokkan harinya saya beritahu Kak Shima, saya tak sanggup.    Kak Shima kata, kalau macam tu, 2 kilo pun jadilah untuk makan anak beranak.  Katanya lagi, kakaknya suka sangat wajik buatan saya sebab lembut. Jadi dia harap sangat-sangat saya dapat buat 2 kilo pun jadilah.  Saya bersetuju dan pada hari malam Jumaat lepas, saya telah siapkan 2 kilo wajik untuk Kak Shima. Tadaaa....

       Oh ya, kalau nak wajik tu keras sikit, beras pulut dikukus, tapi kalau nak wajik tu lembut, beras pulut ditanak dengan air separas beras dalam periuk vision.  Masukkan ke dalam microvawe selama 30 minit.  Selepas 15 minit  pertama,  keluarkan dan balik-balikkan pulut, kemudian masukkan semula dan masak selama 15 minit lagi.

       Lagi satu, kalau anda penggemar  buah durian, masukkanlah beberapa ulas isi durian dengan bijinya sekali atau lempuk durian semasa kacau santan, hasilnya jadilah wajik durian....wooo...terangkat habis.....sedapppp.... 

Selamat mencuba.... dan kalau dah cuba, berilah komen sikit, dan silalah like, ok....